Kebinasaan Dalam Pujian
Tersebut didalam kitab Sairus Salikin :
“Ketahui oleh mu bahawasanya didalam memuji itu 6
kebinasaan, yang 4 kebinasaan didalam orang yang memuji dan 2 kebinasaan
didalam orang yang dipuji.
Adapun, kebinasaan didalam orang yang memuji itu maka iaitu
4 :
1. Berlebih-lebih ia memuji akan seseorang maka menyebut ia
akan sifat yang tiada ada kepadanya maka yang demikian itu dusta dan berdusta
itu haram.
2. Bahawasanya terkadang ia memuji akan seseorang pada hal
menzahirkan seorang itu dan didalam hatinya menyalahi akan yang demikian itu
maka yang demikian itu riya’ lagi munafik dan yang demikian itu haram.
3. Bahawasanya terkadang ia memuji akan seseorang dengan
sifat yang tiada yakin didalam hatinya itu seperti dikatanya “si fulan adil dan
si fulan warak” dan barang sebagainya maka yang demikian itu tiada harus
(haram).
Adapun ia memuji seseorang dengan sifatnya ia akan dia
seperti dilihatnya akan orang sembahyang pada malam atau orang yang berbuat
sedekah atau berbuat naik haji maka yang demikian itu tiada mengapa.
4. Bahawasanya terkadang memuji akan seorang yang zalim atau
orang yang fasiq dan yang demikian itu membawa suka kepada orang yang fasiq
atau membawa kepada menyukakan orang yang zalim atau orang yang fasiq dan yang
demikian itu tiada harus (haram), sabda Nabi saw ertinya “Bahawasanya Allah
taala sangat murka apabila dipuji akan orang yang fasiq itu” dan kata Hasan
Al-Basri ra ertinya “Barangsiapa yang mendoakan bagi orang yang zalim itu
dengan kekal ia didalam dunia nescaya kasih ia akan orang yang berbuat maksiat
akan Allah taala didalam bumi”. Dan sayugianya bahawa dicela akan orang yang
fasiq dan orang yang zalim itu supaya jangan gemar ia kepada fasiqnya dan
zalimnya.
Adapun kebinasaan didalam puji itu maka iaitu dua perkara :
1. Dengan sebab dipuji akan dia itu jadi ia ‘ujub dan jadi ia
takabbur dan yang demikian ini
membinasakan akan dia dan dari kerana ini bersabda Nabi saw bagi orang yang memuji akan seorang dengan katanya
ertinya “Telah mengerat engkau akan
leher sahabatmu dengan pujimu akan dia itu”.
2. Apabila dipuji akan seseorang nescaya jadi suka ia akan dirinya itu dan lupa ia akan kekurangan dirinya dan akan aib dirinya
dan yang demikian itu membinasakan akan dirinya dan dari kerana inilah sabda Nabi saw bagi orang yang
memuji akan sahabatnya ertinya
“Engkau putuskan akan leher sahabatmu dengan pujimu akan dia itu maka jika mendengar
ia akan dia nescaya tiada dapat kemenangan.
Kata Imam Ghazali ra : “Adapun apabila sejahtera puji itu
daripada segala yang membinasakan atas orang yang dipuji dan orang yang memuji
maka iaitu tiada mengapa memuji akan seseorang itu dan terkadang disunatkan
memuji itu”.
Dan dituntut kepadanya seperti sabda nabi saw kepada Saidina
Abu Bakar ra ertinya “ Jika ditimbang akan iman Abu Bakar dengan iman segala
alam ini nescaya berat iman Abu Bakar itu”.
Dan lagi memuji Nabi saw akan Saidina Umar ra ertinya
“Jikalau tiada dibangkitkan akan daku ya umar jadi nabi oleh oleh Allah taala
nescaya membangkitkan Allah taala akan dikau ya umar jadi nabi”.
Dan lagi beberapa perkataan Nabi saw memuji akan
sahabat-sahabat yang besar r.a.
Wallahua’lam
No comments:
Post a Comment